Cuma sekadar perkongsian ringkas buat sahabat2 yang akan menempuh exam mahupun yang sedang menempuhnya..
Teringat pesan ustaz penceramah di surau, tenang-tenangkan hati, bahagia-bahagiakan hati sebelum berperang minggu hadapan, insyaAllah.
Coretan buat diri ini serta sahabat-sahabiah sekalian sempena hari-hari yang bersisa sebelum ke minggu peperiksaan yang bakal menjelang;
Berusaha, bertawakal, berdoa, seiring. Peringatkan diri, bukan hasilnya yang dipandang Allah, bahkan Dialah yang menentukan hasil tersebut. Yang Allah pandang adalah usaha, kerja keras serta sekuat mana yakin, doa & tawakal kita padaNya setelah kita berusaha. Niatkan belajar kerana Allah.
Jagalah hubungan kita dengan Allah dalam sepanjang kita berusaha. Kita berjaya bukan kerana usaha kita, tetapi semuanya kerana izin, rahmat & redha daripada Allah. Jangan sibuk dengan revision & study sampaikan terlupa untuk solat dan beribadah. Ingatlah, yakinlah bahawa ilmu itu datangnya daripada Allah yang diberikanNya kepada hamba-hambaNya yang terpilih.
Sebagaimana firmanNya;
"Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." [QS Al Mujaadilah : 11]
Ilmu itu memiliki kebaikan jika setelah kita kaji secara mendalam, ianya membuatkan kita semakin takut kepada Allah. Ilmu yang semacam inilah yang kita mahukan, yang dicari dengan niat dan cara yang benar, nescaya kita akan mendapatkan manfaat darinya.
Imam Syafi'e ketika masih menuntut ilmu, pernah mengeluh kepada gurunya : "Wahai Guruku. Mengapa ilmu yang sedang aku pelajari ini susah sekali untuk memahaminya dan bahkan cepat lupa?" Gurunya menjawab ; "Ilmu itu ibarat cahaya. Ia hanya dapat menerangi gelas yang jernih dan bersih."
Ertinya, ilmu itu tidak akan menerangi hati yang keruh dan banyak maksiatnya.
Begitu pun, jaga juga hubungan kita dengan manusia-manusia sekeliling kita. Ibu, ayah, keluarga, teman, sahabat, kawan-kawan dan sebagainya. Jangan kita menyakiti hati mereka dan bertindak selfish.
Ingatlah, dalam pada kita berusaha untuk menuju kejayaan, doa-doa daripada insan ini juga penting buat kita. Mudah-mudahan akan lebih berkat kejayaan yang bakal kita kecapi. insyaAllah.
Tidak lupa juga, jangan sesekali mengabaikan kesihatan. Buatlah persediaan rapi, kesihatan yang baik, beserta dengan redha dariNya sebagai peneman untuk dibawa ke dewan peperiksaan nanti.
Akhir kalam. Semoga berjaya & selamat menuju kejayaan. Mudah-mudahan redhaNya sentiasa akan ada buat kita semua.